PUISI-PUISI TERBARU (88) METAMORPOSIS KATA-KATA
OLEH MUSA BIN MASRAN
EDIT 10 Mei 2016 12:22 PM
16 April 2019, 2:30 PM
1.Bahasa Kalbu
Ketika ibuku berdoa dalam bahasa ibunda
aku mendengarnya dalam rahim ibu
doa yang terucap dari mulutmu dalam tangis
gembira dan harapan bulan purnama.
Suara-suara itu memanggil-manggil nama-Mu
tanpa berhenti terus-menerus dengan kata-kata
bersih dari noda-noda yang derhaka dan kacau
kau menyebut satu demi satu dengan bahasa teratur.
Aku dibesarkan dalam bahasa ibunda
yang mengikat cinta abadi dalam rasa fikir
lahir pada kesedaran kekuatan pembendaharaan
keindahan bahasa yang mengetuk pintu-Mu.
Bahasa ibunda ini hidup dalam darah mengalir
firasat dan kasyaf yang turun dalam bahasa
yang terang dan hidup sepanjang zaman
aku tak pernah sesal pengucapan dalam bahasa Ibunda.
2. Nilai Sebuah Puisi
Siapa akan bertanya harga sebuah puisi
memang tak ada yang ingin memajaknya
tak laku di pasaran atau tamu hujung minggu
sebuah puisi hanya sebuah coretan dan reaksi.
Kau tak perlu menyesal orang pun tak ribut
menulis tanpa berharap ada yang menoleh
kalau yang kau tulis ini seperti anak panah
maka kau siap sedia menerima amarah badai.
Saudaraku, tulislah di rimba mana kau berada
di pulau samudera lautan teduh yang terasing
purnama di gunungmu ketika kau bertafakur
di kota sesak dan bising dari malam ke siang.
Kau cari simpati mereka telah menutup pintu
gema suaramu melantun mencari dinding
kata-katamu masih dari sukma seorang penyair
damailah kerana samawi tetap mendengarkanmu.
*Tersiar Di Harian Express 9 Ogos 2015.
3. Penyair Khatulistiwa
Penyairmu menafsirkan rahsia samawi
alam raya hidup dalam kata-kata
bintang dan cakrawala inspirasi sezaman
tiap gerak perubahan memberi makna.
Gempa siang itu telah mengejutkan
mimpi dan harapan di tanah peribumi
ketenangan sungaimu bertukar warna
menuruni lembah gunung bertahan.
Gema gunung telah memberi isyarat
kedamaian rimba khatulistiwa teruji
suara lautan mengirimkan gelombang
kepulauanmu untaian mutiara indah.
Malam-malam tafakur terucap doa
rangkaian kata-kata maghfiratmu
terkumpulnya dalam tazkirah diri
kasyaf mengalir menyejukkan mata.
Penyair Khatulistiwa membacakan tajalli
purnama di sukmamu pancaran matamu
inayat-Nya bagai pelangi tak pernah menjauh
kemenangan ini adalah nyata dan abadi.
4. Puisi Lintas
Ke mana pergi
penghuni rimbamu
hilang di depan mata
di tanah peribumi
Mengapa memilih
kalau tak ada pilihan
kemajuan itu hanya
pada mereka yang melangkah.
Pulau mutiara dan laut
dapatkah kau bertahan
lembah gunung dan hutan jati
telah lama bertukar wajah.
5. Seksa Fikir
Lautan tak pernah lupa
mengirimkan gelombang
bumi menyerap
sentuhan cahaya.
Dalam berdoa
kata-kata istiqamah
terbang bersayap
berteduh di pulau sepi .
Langit damai
di bumi sirkah
kunang-kunang durjana
berkeliaran di malam majnun.
*Tersiar Di Utusan Borneo 8 March 2015.
6. Lidah Api
Aku mencium
bau api dalam udara
lidahnya telah
mencapai pagar
perbatasan.
Ketika aku cuba
menatap wajahmu
jerebu bagai anak panah
menusuk anak mata.
Bukan mimpi
atau ilusi
lidah api
membakar diri
sampai kesiangan.
Buka
pintu sukmamu
pasti cahaya turun
menghalau kegelapan.
*Tersiar Di Utusan Borneo 8 March 2015
*Tersiar Di Utusan Borneo 5 April 2015
7. Kejuitaan Sebuah Malam
Aku hanya dapat berkata
kaulah purnama
dan kejuitaan sebuah
malam
hingga tersingkapnya
siang.
Sipitang malam ini
turun berhias
lautmu tak berombak
langitmu seperti
dinding silam
yang teranyam dari
tangan-tangan bidadari
memital kain tenun
di penjuru malam
dan melihat siang
dari gelas Krystal.
Merapok dan Palakat
tersimpul mati
wira yang berpulang
menjadi tanah gembur
di hujung desa.
Gema tilawatmu
menyentuh sukma
bintang Kartika
kejuitaan sebuah Malam.
Kembaramu adalah tari gerak
puisi yang melukiskan
keindahan khat di dinding
sukma.
Bahasamu adalah
anugerah sebuah cinta
lahir dari budaya
bumi dan samawi.
Di Tanah Peribumi ini
cinta bahasamu tumbuh
hidup hingga kiamat.
Bukankah di tanah leluhur ini
lahir penyairmu yang
menganyam malam
menjadi lautan inspirasi
menghirup udara siang
lalu melafazkan kata-kata
bagai rimbunan hijau
dalam sukmamu.
Siapapun tak akan
datang dan lalu
mempersendakan
bahasa dan budayamu.
Ruh sebuah bangsa
hadir di dalam Kembara Bahasa
Ruh sebuah puisi
hadir dalam doa
yang melangkarkan
kata-kata dan kalimat.
8. Puisi Sederhana
Di suatu siang
tiga anak kucing
di halaman
aku menunggu
surat dari jauh.
Jalan sepi
dan kosong
mana perginya
suara itu.
pulau itu pun
terpisah setelah puluhan tahun
bertahan di dalam sukma.
9. Puisi Di Pinggir Mata
Malam ini
mata bulan,
anak bintang
bersembunyi
dalam mimpi
hujan bukit.
Dawat hitam
kering
kata-kata tawajuh
bergayutan
di pohon sukma.
Kau adalah
kekasih
ditabalkan
dari letusan
komet dan
luluhnya
kejora
di malam gerhana.
Kau telah
kehilangan
masa silam.
Di tanganmu
tanah menjadi pasir
sebidang tanah
dendam
turun-temurun.
10 Daun Limau Muda dan
Langit mendung
hujan belum menitis
jendela terbuka
musim begini
daun limau muda
masih tumbuh.
Belum ada petanda
pada malam
masih mengundang
bahasanya sendiri.
Pulau ini telah
bertarung
terlalu lama
dan tiap badai
taufan telah
datang dan pergi.
Sukmamu masih bertahan
walaupun gema suaramu
mungkin tak kesampaian.
11. Di Lahan Penantian
Hujan turun
menjawab panggilanmu
udara dingin
mengusap ibu jari
Siang sirna
seperti ke alam mimpi.
Waktu bagai berhenti
Sendiri.
Cermin di pojokan
telah
sebahagian dari kegelapan.
Di sini bait-bait puisimu
berakhir
di lahan penantian.
Tali itu telah terputus
Pintu tertutup rapat
Tak menakutkan
seperti arus kau terbawa
ke laut.
12. Bagaimana Aku Berterus Terang
bagaimana aku berterus-terang padamu
gelombang datang bergulung-gulung
burung-burung terbang menyeberangi benua.
bagaimana aku berterus terang padamu
rumahmu gundah tidurnya dari semalam
kau telah mengulang khabar kedatangan.
bagaimana aku berterus-terang padamu
setiap kata kaulafazkan mengalir
seperti air terjun sejuk pelepas dahaga.
bagaimana aku berterus-terang padamu
gema suara yang datang membawa pesan
malam masih gelap dan tidur gundah.
bagaimana aku berterus-terang padamu
sebuah gunung di musim-musim jerebu
ada kaki tergelincir ketika mendaki.
bagaimana aku berterus-terang padamu
anak tebing akan runtuh
alir sungaimu pasti berubah.
bagaimana aku berterus-terang padamu
keamanan akan sirna tanpa keadilan
keadilan harus merata pada semua.
bagaimana aku berterus-terang padamu
gerhana dalam sukmamu
kekalahan di malam derhaka.
bagaimana aku berterus-terang padamu
berita itu bukan rahsia
berhentilah berkhianat.
13. Kata-kata Gundah
Malam-malam kelelawar
merontah dalam diam
ketika langit menjauh
kata-kata berubah wajah
bagai butir-butir bintang
berserakan dan pudar.
Gunung tak pernah bersandar
tanah lembah terhakis
sebuah pulau terasing
di laut
samudera.
Kerana di bawah bumbung itu
kita pernah bermimpi
melangkah dan berkepak
mendaki gunung salji
dan menuruni lurah dan
lautan teduh.
Aku kembali mendakap dan
menyelamatkan yang tinggal
kau telah berubah
di langit masih terus bergenang
dan sejarah terusik
sekarang dan seterusnya.
Kota Kinabalu
18 Januari 2014
14. Penyair Memanggilmu
Kalau aku melihat
dalam bola matamu
di dalam tersimpan
kaih-sayang
keberanianmu.
Aku membacamu
kemanusiaan
bagai matari bersinar
darah menitis dari
serambi darah
dari ketulusan
jiwa-ragamu
kerana fitratmu
memang indah.
Kau bagai kekasih
bertekad jalan ke samawi
kemenangan ini
kau capai
setelah jalan kebaikan
kau tempuh
seperti lebah dan
menitis madu
pada tiap lidah
yang mendambakan.
Kota Kinabalu
29 Disember 2014
15. Terus-Terang
Kau berani meluncurkan kata-katamu
lidahmu mengucapkan tak beralas
berterus-terang itu adalah keberanian
ketika melafazkan anak-anak kata dalam satu
perbarisan berkawat tampak sopan dan teratur
melambatkan harapan menimbulkan curiga
kau memberi isyarat pada malam kelam
tapi, mata masih tertipu disebalik langit
ada bintik hitam sedang terkumpul mengakhiri
musim kemarau panjang kering dan kontang
kau telah diingatkan tentang gerhana itu
ketika malam kelam dalam sukmamu
kesabaran dan ketenangan lautan teruji.
Kota Kinabalu
24 Disember 2013
16. Foto Sebuah Fikiran
Seperti gunung
memanggilmu
tanpa suara
ia tetap melambaikan
tangannya
terasa kau terangkat
seperti debu
terlambung ke atas
berputar-putar
terlepas dari graviti.
Menghadap ke laut
melihat arus deras
seperti meregut
sukma dan menarikku
ke dalam laut
tanpa perlawanan.
dibawa hanyut
dan terdampar
di pulau pasir
tengah lautan.
Kota Kinabalu
23 Disember 2013
17. Tulis, Tulis, Tulis
Tulis, tulis, tulis
walaupun hanya sepatah kata
Ketika kata-kata kehilangan
martabat diri lalu seperti
ubat bedil terbakar hanggus
Coretkan pada dinding itu
sekalipun grafiti atau artifak
selagi kata masih bernafas
kau dapat menafsirkan
bunyi huruf hidup dan mati
Kota Kinabalu
23 Disember 2014
18. Pelayaran Kata
Kau berdiri di pelabuhan
sambil melirik ke samawi
siang telah hanyut
ke riba malam.
Pelayaran kata telah
mengembangkan
layar waktu
terbang di udara
menjadi burung.
Kota Kinabalu
17 Disember 2013
19. Setitik Pulau Sepi
Kau tak akan terangkat membawa
masa silam ke dalam mimpimu
bagai gunung kukuh dan bertahan
rahsia-rahsiamu larut menjadi tanah.
Ketika langit bertukar musim
kau mencari pulau bersembunyi
di tengah laut samudera dan ribut badai.
Tiap kekasih punya pulau sepi
tak kira pulau itu setitik noktah
terlalu kecil di tengah lautan atau
bersendiri pada gunung kukuh dan bertahan.
KotaKinabalu
14 Disember 2013
20. Kata Batu
Kau yang bilang,
aku batu di lereng bukit
bergolek ke tepian jalan
kau terus memanggil
aku batu di tepian
kekadang terbawa
ke seberang.
Bacalah menteramu di-
seluruh pintu hingga ke-
halaman mimpi
Permainan ini masih
belum berakhir
sekalipun anginmu
kehilangan kuasa.
Sekarang kata-kata ini
bertukar wajah menjadi batu
lalu menjadi gunung.
Lalu impianmu dimakan bulan
gemuruhmu, gema sebentar.
Kota Kinabalu
1 Disember 2013
21. Kekuatan Kata
Kau bilang sekarang musim gugur
dinginnya bukan main sampai ke hulu hati
pergi carikan kayu api menjadi bahan bakar
menyempurnakan suatu siang yang gemilang.
Bayangkan bahan api telah hanggus dan
menjadi debu. Tapi kau masih meminta.
Hutan telah hanggus, gunung masih berdenyut
dan melontarkan belerang ke langitmu. Burung-
burung sukma merontah terbang melayang
cuba membebaskan belenggu graviti dari
kedua kaki.
Lalu kau bilang tiada apa-apa yang tinggal
selain pohon-pohon kata yang telah tumbang
ke bumi. Kau pun mulai membakar kata-kata.
Tiap kali kehabisan udara, dihirupmu supaya
paru-paru penuh. Dari mulut, kau muntahkan
kata-kata menjadi bahan api yang bukan-
kepalang panasnya.
Herannya, ketika panasnya hampir-hampir
seperti matari, kata-katamu mencair menjadi
air dingin yang mendinginkan tanpa musim.
Lalu keramaian hutan kembali dan langit penuh
dengan burung-burung terbang.
Kota Kinabalu
30 November 2013
*Tersiar Di Utusan Borneo 30 November 2013
22. Kata-kata Sebuah Anugerah
Kau telah tidur menguliti kata-kata
menanggalkan kulitnya.
Kau menunggu bunyi hujan turun
sepanjang hari.
Dengan kata-kata kau menciptakan
rembulan, pelangi, angin, ombak dan
kapal dan satelit dan senjata bisa
menembak tepat ke sukma cakerawala.
Dengan kata-kata, anugerah memartabat
bangsa dan menawan bintang kejora.
Kau masih merasakan seperti orang
berjalan dalam gerak perlahan sedang
bunga merah ditabur berjatuhan di atas
kepala dan seluruh tubuhmu. Kau puas.
Yang herannya, kata-kata dalam lakaran
memorimu makin kecil dan kurang.
Walaupun begitu kau masih boleh
bertanya dan menerangkan. Sekalipun
esok, kata-katamu sirna tenggelam ke-
dalam samudera lautan sukmamu.
Sejak itu kau diam, melihat gerak dan
perubahan musim tanpa berkata-kata.
Lalu suaramu mengiyang-ngiyang
dan gemanya naik ke atas. Hujan
pun turun sebagai jawaban. Kalau
kau benih yang bercambah yang
kehausan tepat pada takaran air
yang turun, matari mengirim salam,
cahaya bersambut. Kau dibebaskan,
gerhana telah beralih.
Kota Kinabalu
30 November 2013
*Tersiar Utusan Borneo 30 November 2013
23. Catatan Sebelum Tidur
Kedatanganmu membawa gerhana di kaki langit
Kelicikanmu meruntuhkan gunung bertahan
semakin aku memburumu
hanya kegelapan pekat dan bau mayat
Kedamaian telah lama rapuh dan
terkubur tanpa upacara
matamu adalah mata musuh
mencari sasaran dan melepaskan
das tembakan.
Di sini tak ada sempadan
ketika kemenangan gema suaramu
bagai pembalasan dendam
dan kekejaman, udara menuba.
Di daerah-daerah perang
keadilan itu seperti mencari tuannya
tanah tanpa kasih sayang ini
jatuh korban
orang kecil di tengah kemarahan
dua saudara.
Malam gerhana
di langit sukma
segerombolan serigala
telah mencium bau bangkai
dan mereka telah berkejar ke situ.
Sumur langit bergenang
bukankah telah tiba kau terpanggil
dalam kanca permainan
keselamatan dan kedamaian sukmamu
adalah kerinduan di jalan pulang.
Kota Kinabalu
9 November 2013
24. Pengucapan Kata-kata
Kata-kata seperti tindih-menindis
laut telah pasang, gelombang
mulai buas. Pantai berdebur
dihempas silih-berganti. Pohon
Pohon kelapa condong ditiup.
Kata-kata seperti lipan yang
menyorok di dalam kasut
di atas tangga di depan pintu.
Diam, sepi sepanjang malam
sampai menjelang siang.
Kata-kata seperti anjing yang
menggonggong di tengah malam
berkelompok dan meronda
ketika orang sedang tidur
setelah kelelahan sepanjang hari.
Kata-kata seperti sentuhan
tangan malaikat di hujung lidah
lalu turunlah doa-doa tak pernah
kering dari ucapan seorang mutaki.
Kota Kinabalu
11 September 2013
25. Taman Pustaka
Masa silam adalah masa silam
ia telah menjadi catatan di halaman sukma
Aku melihat jari-jari tangan ini
telah berubah kulitnya
tangan ini seperti tanganmu
tak pernah turun bertanam
atau menabur benih di tanah
pribumi.
Tiap orang punya impian
sekalipun hewan di dalam kurungan.
dan doa yang terkabul
impian yang telah disempurnakan
matari di langitmu
tak pernah pudar
demikian, rembulan, cahayanya
tetap berkilat hingga kau
menyentuh kiamat.
Pada langit aku biasa
bercanda turun kalam
dan aku belajar menulis dan
membaca lalu kau pun
belajar menulis.
Dalam sukmamu tumbuh
kecintaan pada dunia
huruf dan kalimat. Lalu kau
menulis bait demi bait
dalam bahasa puisi.
Khazanah ini turun kepadamu
kau melihat taman pustaka
di dalam sempadan itu
kau akan selalu aman dan damai
dan kalam ini adalah kepunyaanmu
menulis dan menulis.
Singgahsanamu, jauh ke dalam impian
matari harapan dan rembulanmu
galaksi dan orbit baru
membawa syafaat ke dalam sukmamu.
Kota Kinabalu
8 September 2013
26. Nyanyian Sukma
Aku menulis puisi ini kepadamu
tiap kata menyampaikan isyarat
mata dan bibirmu yang membaca
sukmamu yang tersentuh lalu
fikirmu melayang berkepak dalam
udara langit biru. Ia menjadi burung
Cenderawasih.
Ketika aku memanggilmu dengan
satu panggilan bergema ke serata
lembah dan gunung. Panggilanlah
ia sebuah harapan yang tak akan
pudar dalam hakisan waktu.
Kepadamu, aku tak akan merasa
lelah mencipta puisi-puisi ini.
Sesaat aku menjauh kau kerinduan
mencari burung Cenderawasih
di rimba mana dan di langit mana
tiap bunyi yang bergetar kau
gelisah.
Kukumpul puisi-puisi ini buatmu
biarku bisikan ke telingamu
dan menjadi Nyanyian Sukma
kalau itu memang sebuah harapan
biarlah ia sebuah harapan.
Di dataran ini aku berdiri
memanggilmu dan gema suaraku
berulang mengirim pesan tapi
kau masih tak menjawab dan
Nyanyian Sukma masih ada
di tangan ini menunggu kau
datang mengambilnya.
Kota Kinabalu
15 Ogos 2013
27. Bagai Mimpi
Bagai mimpi melihatmu lalu
dan menghilang di depan mata
dalam danau memori bagaikan aku
mendengar suaramu, air yang
mengalir di celah-celah batu.
Ketika keretamu terbanting
dunia sirna dan degup jantung
bagaikan nafas lautan dan membawa
angin gemuruh menjelang malam
gerhana.
Kata-kata meluruh dan berkumpul
menjadi gelombang-gelombang doa
datang dari sukmamu yang jujur.
Berita itu bagai menghempit dadamu
dalam tidur gelisah.
Tenang, tenanglah lautan di waktu
malam. Turunlah gerimis biar
datangmu membawa salam dan
khabar baik pada sebuah taman.
Kota Kinabalu
15 Ogos 2013
28. Tiap Satu Ada Kelainan
Rupanya ada orang tak pernah melihat langit
apa lagi kembang api dan air di pancuran
mereka adalah mata yang tersorok-sorok
dalam kegelapan. Bukan kerana rohaninya
tipis. Hanya kerana mereka tersisih lama
dan lambat melangkau pembangunan.
Mereka ada di laut, terapong dan menyukai
debur ombak dan Nyanyi Malam. Langitnya
penuh bintang dan siangnya seluas lautan.
Lenggang ombak dan deru angin membuai
tidur mereka sampai ke pangkal mimpi. Suara-
suara mereka tinggal di laut, ketenangannya
pada langit terbuka dan lautan dalam.
Di lembah hutan jati ada desa nongkrong
dan di sana tinggal orang pendalaman
Mereka terbiasa mencium bau hutan,
tanah gembur, dan lumpur selepas hujan.
Mereka bilang tiap pokok ada sukmanya.
Lalu mantera pun tercipta. Mereka tinggal
dan lahir di situ, di tanah Pribumi, cuma
mereka lupa mendaftar setelah melahirkan anak.
Kota Kinabalu
10 Ogos 2013
29. Di Lidahmu
Di lidahmu telah tumbuh lalang
suaramu penuh dengan dahak
malammu bagaikan terpotong sekerat
menjauh tak perlu mengharapkan
dan aku tak akan bertanya.
Kota Kinabalu
9 Mei 2013
30. Melihatmu Dalam Kasyaf
Di lidahmu telah tumbuh lalang
suaramu penuh dengan dahak
malammu bagaikan terpotong sekerat
menjauh tak perlu mengharapkan
dan aku tak akan bertanya.
Kota Kinabalu
9 Mei 2013
31. Metropolis Dan Penyair
Malam condong ke tengah malam
aku masih di langit malam Lautan China Selatan
kapal terbang meluncur ke alam mimpi
sendiri melawan kantuk, Kuala Lumpur
nafas kotamu semakin terhidu.
Aku tiba
melangkah perlahan, tubuh ini
menyerap hawa panas metropolis KL.
Penumpang
mengakhiri perjalanan di sini
menutup pintu teksi sedikit keras
seperti membuat pacuan terakhir
tanpa menoleh.
Di perhentian bus, jam 2.30 pagi
ada orang masih memesan makan
minum-minum
berbual
menunggu dan tertidur.
Bukan di tanah asing,
tapi di tanah air.
Bahasa sukma telah
mendatangimu
seakan aku lupa pada wajahmu
tapi suara itu bicara bersambung
dari masa silam.
Duduk sendiri
antara penyair dan penulis besar
dalam dewan.
Kalau memang orang kecil
lebih baik diam dan mendengar.
Tiap kata pemidato
ketenangan menyerap sukma penonton
tiap kata bersemangat
disambut dengan tepuk sorak.
Semua orang mau dikenal
acara pun berkenal mesra.
Kau ingin bertentang mata
dan berjabat tangan atau salam terucap.
Sendiri menyemak fikiran
sedang mereka telah pergi
suara orang kecil didengar
jauh di belakang.
Asalkan dapat berbual akan
mendekatkan jarak.
Kutemui teman penyair
telah banyak berubah
ia punya langit sebagai paying
dan dataran tempat berpijak
hanya ia sekarang seperti
pokok getah tumbang
di tanah tanam semula.
Siang itu ramah-tamah
kota metropolis
mengalih pandangannya
pada tetamu dan acara baru.
Kota Kinabalu
17 April 2013
32. Kegelapan
Di pinggir malam sukmaku gelisah
menunggu turunnya cahaya
dalam kegelapan dada bumi
terasa tertekan. Langit seperti
kehilangan permata'
Ke mana perginya kelip-kelap itu
dan rembulan seperti luluh dan
hanggus. Kegelapan ini masih
menabur keraguan dan mencuri
sisa-sisa cahaya di sekelilingmu.
Di dalam kamar ini aku bagaikan
terhukum. aku pun mencari
kedamaian dan berpegang pada
dahan-dahan langit-Mu. Aku tak
perlukan apa-apa. Ketenangan ini
mekar sekalipun dalam malam
gelap pekat. Aku tak merasa takut.
Bau Kenanga dan Melati terserap
ke dalam udara nafasku.
Di dalam kegelapan aku merasakan
kau bukan lagi sebagai musuh. Kerana
aku menemukan degup dan jati diri.
Di situ tersimpan kekuatan baru.
Kota Kinabalu
21 Februari 2013
33. Aku Tulis Puisi Ini.
kerana kau merasa
kau terlalu lantang
dan keras. Sedangkan
aku ingin kau memetik
sape dan merasakan.
Aku hanya dapat
memandangmu,
senja tetap turun
dan menghilang.
34. Mahluk Asing
Khabarnya makhluk asing akan turun dari angkasaraya
mereka boleh saja datang dalam satu masa dan tak ditentukan
pula jam berapa, hari apa? Yang pasti, kita harus bersiap-sedia
makhluk ini tak berwajah, suka bercakap dan pandai pula
dengan bahasa gerak.
Makhluk asing ini suka main sembunyi-sembunyi. Kau tak
seram atau takut, kerana ia seperti badut dan pandai berbual
dan menyanyi. Ia mau kau pun boleh menyanyi dan jadi korus.
Lagi bertepik lagi bagus dan indah menurutnya.
Sepanjang jalan orang telah mulai memasang bambu dan
mengibar kain. Ada yang berkata di sini adalah sempadan
selamat buat makhluk asing turun. Tiap-tiap malam mereka
mulai menunggu. Telinga mereka jadi teliti membedakan
jatuh bergolek seperti durian dan mendaratnya makhluk asing.
Tidak semua percaya pada kedatangan makhluk asing.
Jadi, mereka tak menunggu. Yang lain menyibuk ke sana
ke mari kerana mereka ada empat kepala, di depan dan di
belakang. di kaki kiri dan kaki kanan. Mereka mencium
tanah seperti anjing tapi mereka bukan anjing. Untung,
mereka belum terjumpa tulung rusuk atau tulang ayam.
Sekarang orang menunggu dan setiap dahan jatuh atau
air berkocak di laut, jantung mereka berdebar. Angin membawa
khabar ke mana-mana. Gemuruh di langit. Belum ada tanda-tanda
makhluk asing akan datang. Tapi setiap malam tiba, sebelum
melelapkan mata, telinga mereka masih menunggu kalau ada
bunyi yang luar biasa di depan pintu. Jadi, selalunya mereka
tak lena tidur kerana menunggu pintu mereka diketuk.
Kota Kinabalu
28 Januari 2013
35. Mencarimu
Mentari masih sejengkal, aku bekejar seperti burung
melaju ke desamu di kaki bukit, kau telah menunggu.
Aku lihat ada cahaya tersembunyi pada bola matamu
ke dalam sukmamu, masih mencari sisa-sisa bara api
lalu mengipas tenang, dan akhirnya api menyala.
Kita bersalaman meskipun saling belum kenal. Aku
melangkahi sempadan lalu kita dapat berbual santai.
Aku tak menderamu dengan rimbunan pertanyaan
bila kau ditanya, kau menolak dari ke kiri ke kanan
Akhirnya kau terpaksa bercerita dari sisa ingatanmu.
Siapakah ingin mencederakan burung dara ini?
Duniamu adalah pari-pari, tinggal di pohon-pohon
ketika malam, berkelip dan bersayap terbang ke
bintang dan rembulan. Lagumu desir angin malam
yang tak menyakitkan telinga yang mendengar.
Ketika kutinggalkanmu, terlihat pada wajah ini,
ingin jadi burung helang menguasai langitnya.
Kalau memang itu impianmu, singkap pintu
sukmamu melihat biru langit. Halaukan
kegelapan memenjarakanmu sepanjang musim.
Kota Kinabalu
26 Januari 2013
36. Lagak Seorang Teman.
Aku mencatat dalam puisi pesan seorang teman
ketika kau kematian akal lalu masuk ke halaman
rumahnya dan mengetuk pintu. Lumrahnya langit
membuka dadanya membiarkan rembulan mendaki
sampai ke puncak. Sekarang ia berkata, ia tak akan
membuka pintu. Itu tak mengapa. Laut tak selalu
bergelora sepanjang tahun. Aku pun tak akan
menunggu sampai kokok ayam jantan. Kalau
kau melihatnya berdiri dari belakang langsir,
kerana mengganggunya di hujung minggu.
Terima kasih, aku akan beralih pergi diam-diam..
Alam sendiri ada juga budi bahasanya. Tapi
sekalipun kau telah mengenalku, selalu ada syarat.
Tanpa sampul, kau tak akan turun ke lapangan
bermain. Tangan yang memberi dari tabir
langit, memang indah tapi sekarang jarang
kau temui dalam gejolak waktu. Ia akan
memotong bualmu sebelum pun kau habis
bicara. Sekalipun ia seorang kawan lama.
"Pengerasnya." katanya lewat seorang kawan
lain. Kulihat ia selalu sendiri, teman-teman
menyimpang ke tempat lain ketika melihatnya
dari jauh.
Kota Kinabalu
5 Januari 2013
37. Pada Bumi
Aku memulai sebagai catatan
ketika terpanggil aku pun menulis puisi
sukmaku gundah seperti samudera
dan angin di tengah malam.
Lalu huruf-huruf dan kata-kata
berjatuhan. Aku menyukai.
Siang tersingkap
aku tergoda memandang
arah seekor lebah menyibuk
suatu pagi di sebuah taman.
Aku diam tak menghalang
tiap gerak dalam peredaran waktu.
Ada mata yang tak bosan
mau melihat ke dalam sukmaku
di dinding langit
atau jauh ke dalam sukma di cakerawala
aku menempelkan harapan di situ.
Tapi pada bumi
aku tetap kembali.
Kekadang aku tak membaca
perubahan pada gerak dan sentuhanmu
barangkali aku gunung
yang terhakis dalam
pertukaran musim.
Sekalipun kau telah berjalan
di hadapan
aku masih bersamamu
meskipun sukmamu
dan diri ini jauh tertinggal
di atol kepulauan sepi.
Tapi, impian ini
masih mekar di pedalaman.
Kota Kinabalu
26 Disember 2012
38. Hujan Mengalir Petang
Ada keasyikan, asalkan tidak membuat
aku lupa pada kandungan waktu yang
berjalan kemas. Ketika aku berhenti
mengatur nafas, perahu telah berhanyut
jauh ke tengah laut.
Malam itu aku bertemumu di bawah
sayap burung kota. Sedang kami berbual,
hujan turun seperti hujan semalam.
Hanya hujan petang ini, adalah rahmat
hadir sekali dalam seperabad.
Aku naik pentas mendeklamasikan
puisi-puisi di telingamu, suara dari
sukma dalam tali perjalanan yang
panjang. Aku tau banyak kata-kata
yang tak perlu diucapkan namun
diucapkan kerana kata-kata ini
adalah dalam kandungan waktu.
Senyum dan ketulusanmu seperti
dulu, barangkali kalau ada kita
melangkah lambat dan berkata
pun lambat, ketika kita sedari
kita sebenarnya tak bebicara
apa-apa selain duduk diam dalam
jeda yang panjang.
Kujabat tanganmu sekali lagi
seperti esok punya rahsianya sendiri
dan kita sangat mengerti seperti
berdiri di tebing sungai melihat
air mengalir dalam kelajuan arus
menuju ke laut.
Dalam kegelapan malam kami berpisah
Sesekali dekur kotaraya terganggu
sedikit membuat riak kecil kemudian
pulang ke dalam igau dan mimpinya.
Kuala Lumpur
23 Disember 2012
39. Dekurmu, Denyut Lautan
Aku meninggalkanmu setenang gunung
selepas subuh. Dekurmu, denyut lautan
Kota Kinabalu
21 Disember 2012
40. Melayar Sebuah Impian
Kau telah membiarkan mereka pulang
seorang ibu dan seorang anak lelaki.
Suatu siang, mereka perlahan-lahan
hilang di horizon. Dalam memori hidup
akarnya kuat menjunam ke bumi ini.
Meskipun ranting, dahan dan batang
telah tumbang. Ia masih pohon memori
yang subur. Melayarkan sebuah memori
atau warisan peninggalan adalah rempah-
rempah kehidupan. Di sana, musim panas
udara kering, di lereng-lereng, bukit bau
asap, api menyala, merayap dalam diam.
Ketika angin berpatah haluan, langit inferno
api menjulang dan segalanya pun berubah.
Aku terlantar dalam udara khatulistiwa
Ini bukan impian tapi kenyataan di bumi
sendiri. Di sini tiada gong, gendang, serunai,
atau hentakan kaki Pak Dalang berisyarat
Kita tak boleh berhenti menoleh. Pacu
kudaku, senja berligar di atas kepala.
Kota Kinabalu
16 Disember 2012
41. Makna Di Sebalik Gerak
Ya Tuhan, banyak yang belum dimengerti
yang tersentuh sukma adalah rahmatmu
rupanya prasangka itu adalah kekeliruan
turun dalam mimpi gerun di malam salji.
Adakalanya berdiri di tengah traffik kota
raya, patah niatmu melangkah membuat
keputusan arah mana patut diambil ketika
lampu merah menyala lalu bertukar hijau.
Di tengah gelanggang, penonton masih
ingin yang lebih kejam dan pergelutan
lebih parah. Ketika perlawanan mula,
loceng dibunyikan, pengadil memberi
isyarat mulai, penonton pun menjadi
gila dan meloncat-loncat di atas kerusi.
"Kami mau darah, kami mau darah."
Sekiranya kekerasan boleh dibumikan
alangkah baiknya api permusuhan dapat
direndamkan ke dalam samudera lautan
bila kata tak berfungsi sebagai pendamai
jerebu tipu muslihat terkandung dalam udara.
Ketika gol tersumbat masuk ke pintu
sorak-sorai kembang api dinyalakan
tapi ketika leher manusia sejagat siap
untuk dipenggal kita masih duduk
berunding membuang-buang masa
banyak perkara diterbangkan angin.
Kota Kinabalu
9 Disember 2012
42. Di Pinggir Desa Yang Didera
Disebalik tabir malam kau mengintip
siapa yang tidur di atas ranjang
matahari telah beredar jauh
tapi dekurnya masih sarat
otot-otot kakinya masih kejang.
Ketika dirimu memohon
di sini ada halaman dan pohon
rendang, maafkan aku tertidur
tanpa membuka kasut
dan terlentang di berandamu.
Esok, aku akan bercerita
padamu tentang nabalu.
Kalau namamu tak disebut
bukan kerana aku melupakanmu
di lorong-lorong kota ini
aku membaca grafiti di dindingnya
di pinggir desa yang didera
menjadi kota, tinggal seorang
tua yang pernah kukenal
dalam usia yang tersayat
duduk tiap hari melihat
artefak sukmanya yang
dibongkar dan ia bagaikan
penghuni yang kalah
sekalipun ada percikan
kemarahannya. Tapi itu
semua tersekat di dalam
rongga dadanya. Yang tinggal
hanya nafas yang tercunggap-
cunggap. Perlahan-lahan
kotaraya memamah dan
mengoyak tubuhnya. Orang
pun tak bertanya lagi ke mana
perginya orang tua itu,
penghuni terakhir desa
di pinggir kota. Adakah ini
mimpi gerun? Sekalipun
di dalam mimpi, ia datang
membuat tatoo di sukma
tanpa aku redah.
Kota Kinabalu
8 Disember 2012
43. Bulan Kuning Cempaka
Di dinding sukma telah
kubiarkan kau melukis
grafiti.
Warnakan, ini bukan lagi
dinding larangan.
kau adalah bulan kuning cempaka.
Di sini,
kau bertenun impian
sesekali tertusuk jarimu.
Aku melihat jariku
tak berbekas dan darah
telah lama berhenti.
Kota Kinabalu
6 Disember 2012
44. Tiga Sahabat
Kami sahabat lama ditemukan
duduk berbual di restoran di
pinggir kota. Keduanya berambut
panjang ke bahu, cuma diriku.
Kami tak berdakapan, sekali
inilah kali pertama sejak masing-
masing mengemudikan layarnya
di samudera lautan. Kami tak
bertanya berapa pula tin emas
kami simpan di ruang gelap atau
di bawah ranjang tidur. Yang jelas
beberapa helai daun telah terlucut
dari gagang atau ranting pohon
hidup kami. Ketawa terkakah-
kakah kami seperti dulu, bila
kami bertemu, melambung
ke bumbung restoran dan meliar
sampai anak-anak muda yang
minum di sebelah kami. Memang
pertemuan ini tidak dirancang.
Bukan pula meraih ulang tahun,
atau pesta menuai. Di meja, tak ada
kek atau kembang bunga api.
Aku diam. Sambil mereka
berbual aku memerhatikannya
kami telah melangkahi sempadan
dunia terseret-seret di tumit kaki
langkah pun menjadi perlahan.
Tiada suatu yang mustahil
kami bersalam lalu pergi.
Entah bila lagi kami akan
bersama, malam bertukar
penuh misteri, dan menyimpan
rahsianya sendiri.
Kota Kinabalu
1 Disember 2012
45. Belum Terlambat
Kau menanyakan ke orbit mana aku berpergian
pertanyaanmu kerana ingin tau, aku pun tak
merahsiakan. Kau pergi sekelip mata, membawa
pulang ole-ole dari cakerawala. Di sana, ada
malam dan siang dan punya tiga matahari.
Udaranya murni, alam rayanya ramah dan indah.
Di pintu gerbang jalan ke dataranmu, kau
diperingatkan, di sini, orang suka memberi
salam. Unggas raya ingin bersahabat. Tulus.
Flora dan fionanya mengimbau cinta dan kasih
di dalam udaranya. Indah. Langitnya memberi
kepuasan kepada mata yang memandang.
Dari langit, air mencurah turun menjadi air
terjun. Aku terpegun. Airnya bergenang dan
dingin melewati dua lembah hijau dan bergunung-
ganang. Aku berkata ke dalam hati, bagaimana
aku dapat menceritakan semua ini kepada
sahabatku.
Aku mencium bau syurga. Di sini tak ada
sengketa, apa lagi mengasari dan berlaku
kejam. Kembara bahasanya puitis dan jelas.
Sesekalipun aku orang asing tapi diperlakukan
baik dan sopan. Aku selalu merindukanmu.
Ketika di jalan pulang mendekati bumi
aku melihatmu debu-debu belerang
melekat pada tubuhmu tapi sukmamu
masih gemerlap dan bercahaya. Lalu,
aku memberi salam padamu, "Apakah
aku sudah terlambat." Kau membalas,
"Belum." Kupegang tangan kananmu
lalu kami berjalan ke dataran hijau.
Kota Kinabalu
28 November 2012
46.Wanitaku, Maafkanlah
Wanitaku, kau telah mendengar ribuan kata-kata
yang kuluahkan dalam berbisik, berselindung
dan terus-terang. Kita telah bersama, bersayap
terbang ke rembulan penuh. Kau pendengar baik,
kekadang antara kata-kata lunak ada tersembunyi
penghinaan. Maafkan aku.
Wanitaku, aku akui dalam keterlanjuran, menderahmu,
aku lakukan itu tanpa kusedari.
Ampun, Ya Rabbi, aku memang telah bertindak
kasar pada wanitaku.
Ketika kau bertanya, aku dalam tertekan lalu
aku membalasmu dengan kata-kata kasar
sekalipun bukan niat, sungguh aku layak
dihukum. Maafkan aku.
Dalam hidup menjelang senja
ketika aku menatap bola matamu
langsung ke dalam sukmamu.
Wanitaku, Kristalku,
selalu di hari-hari biasa tanpa sedar
aku telah menyiksamu dan membuat
kau menangis dan tersiksa. Maafkan aku.
Wanitaku, kita telah bersama
jauh di lembah gunung dan khutub selatan
kau telah mengenal kelemahanku.
Aku berjanji tapi janji-janjiku
tak menetas pada waktunya
bukan kerana aku
sengaja berbuat demikian.
Tapi kerana pencapaianku
rupanya tak sejauh langkahku. Maafkan aku.
Wanitaku, telah kuucap nazam-nazam
cinta padamu dan kau membuka
pintu martabatmu kepadaku
dalam percintaan, lalu lahirlah
buah dari cinta itu, tumbuh
segar di halamanmu. Pengorbananku
barangkali hanya doa-doa yang
mengalir dari sukma seorang kekasih atau
suami. Maafkan aku.
Wanitaku, aku tak pernah meninggalkanmu
di tengah samudera atau di padang pasir
sendirian dan membiarkanmu bergolak
menghadapi hawa dingin atau binatang buas.
Kekurangan itu memang aku sedari. Maafkan aku.
Wanitaku, jatuh bangunnya aku, kau
selalu disampingku. Ketika aku meraung
dan kehilangan atau dalam tidur yang gundah
kau mendakapku dan selalu
menenangkan sukma dengan kelembutan
dan ketulusan jiwamu. Maafkan aku.
Wanitaku,
Kalian adalah anugerah Tuhan
yang terbaik.
Sandakan
26 November 2012
47. Bau, Cahaya Dan Landskapmu
Suara ini tak seberapa
datangnya bukan sebagai guntur
kekadang aku terpaksa menyerah,
melepaskan memori sekalipun
barangkali terbaik dari yang banyak.
Kumasuki hutan di halaman
tak mungkin akan tersesat
sebenarnya ia hanya hutan
sedikit di pinggir kota.
Ketika berada di hutan
pinggir kota, kupatahkan
ranting supaya dapat ke depan
dan balik ke jalan pulang.
Bukankah sukma pun telah tumbuh
reranting kering dari musim silam
menunggu peralihan musim .
Tiap yang hidup dimakan waktu
tak terasa, lebih baik dari
berselindung dalam kegelapan
yang terciptakan.
Di sini aku masih
mencium bau,
cahaya dan landskapmu
masih.
Kota Kinabalu
7 November 2012
48. Biar Kau Sentuh
Aku meluncur ke angkasaraya
melihat bumi seperti sebiji telur
kebiru-biruan dan sentuhan warna putih.
terasa kini telah lepas dari graviti
memandang ke depan, aku berangkat
satu misi. Bumi sayang, kesabaranmu
sejak masa silam. Sekarang kau masih,
masih menyerap dan memberi.
Sejak dulu, anak adam menafsirkan
kata-kata, kekadang mencederai
kemanusian sejagat. Setelah keruntuhan
dibangunkan lagi sebuah peradaban,
dan menyanyi kata-kata, melahirkan
puisi menjadi kegemilangan bangsa.
Ke mana saja aku pergi, tetap masih
berbau tanah. Dan aku tak akan
melupakan air bening dan udara gunung.
Laut dan malammu, kedamaian
meraih-Mu. Meninggalkanmu,
bumi kesayangan bukan melupakan.
Biarkan perjalanan ini, berangkat
dari kesedaran dan ilmu. Menjangkau
angkasaraya dengan sukma. Kejauhan
itu tak terasa, kerana aku akan menulis
dalam gaya bahasa dalam bait-bait
puisi yang indah. Biarkan ada yang
melakukan langkah permulaan. Tiap
perjuangan dan pengorbanan harus
ada mentor dan tokoh-tokoh yang
berjiwa bumi. Kini, aku memulai
kembara ini, kalau tidak sekarang
nanti, biar kau sentuh sukma
angkasarayamu dan ia pasti memberi
reaksi sebagai seorang sahabat
dalam era kemerdekaan, satu
bahasa, satu bangsa dan satu negara,
Malaysia.
Tawau
5 November 2012
49. Aku Orbit Baru
Rupanya setengah abad telah
terbang, menjauh ke bintang
Suriya dan aku masih bermimpi
orbit baru. Aku masih di sini,
berkemas dan berangkat. Ketika
malam turun, aku telah berada
di pinggir kotamu. Aku terpanggil.
Kembara ini, perjalanan kasih.
Aku tetamumu memasuki
halamanmu, beradab. Usah
kau ragu tentang burung yang
terbang di langitmu, kepayahan
ini menjadi penawar sukma.
Kau bertanya, "Apakah kau
tak merasa lelah?" Jawabnya,
"Tentu tidak." Tiap kali gong
dipalu terasa langitmu segar.
Dan bumi adalah hamparan
anak-anak kata tumbuh menjadi
dewasa dan puitis. Danau
mengalir ke rembulan di malam
purnama, cahayamu hinggap
pada tiap kata, menjadi pantun
dan syair. Ladang kata-katamu
terpelihara dalam segala musim
doa ini turun-temurun di lidah
jenerasi sebelum, sekarang dan
akan datang. Matamu saujana
dan sukmamu melayu dan Malaysia.
Tawau
4 November 2012
50. Tanah Penyair
Ke arah mana memandang
di tanah ini, bagai air mengalir
dalam sukma penyair.
Dari dataran tanah, banjaran
gunung, menurun ke lembah
hutan jati hingga jauh ke pelosok
kepulauan jauh dan atol sepi,
lalu ke dalam nafasmu, nyanyi
hujan siang. Ya Rabbi, jadikan
tanah ini tanah penyair dan tanah
kata-kata yang hidup dan segar.
Menulislah, kata-katamu biar
bebas, inilah rahsia jenerasi muda,
seni puisi melekat di lidahmu,
tiap kata-kata yang lepas dari
nafasmu bagai air terjun Kinabalu
tak pernah berhenti. Suara-suaramu
bersayap, jiwamu rembulan penuh,
inspirasimu bagai mentari pagi
mengirimkan cahaya tak pernah
padam. Ia pula tak membakarmu
apa lagi membawa bencana.
Ketika malam tiba, lihatlah
angkasa raya. Kembangkan sayap
dan jangkauanmu, bergayutanlah
dari bintang ke bintang, dari
planet ke planet, dari orbit ke
orbit. Sukmamu tanpa sempadan.
Inspirasimu sampai ke langit
ke tujuh. Kaulah Kaptain,
dalam mimpi kejora. Kepada
mereka yang ingin merobek
malammu dan menghalau
mimpimu dan merendam
rampaian kata-katamu di
dalam danau berbau lumpur,
ciptaan mereka. Jangan,
jangan sesekali membiarkan
mereka sebagai pandit atau
algojoh. Imajinasi mereka
angin kering, laut tohor yang
ditinggalkan, malam mereka
penuh dengan raksasa hitam
dan bau kencing di sepanjang
jalan, mimpinya mimpi masa
lalu yang penuh dengan debu.
dan membosankan. Tanah penyair
adalah tanah tulus, hijau dan
hidup. Kau akan selalu tak
pernah berhenti minum dari
manis airnya. Tanah penyair
adalah tabaruk sepanjang zaman.
Kota Kinabalu
22 Oktober 2012
*Puisi ini dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F, 2012
51. Sebuah puisi
hanya sebuah puisi buatmu.
Ia tak pernah menuntut
lebih dari sebuah karya.
bait-baitnya, barisan
kata-kata yang berdiri
di dataran, lahir dari
lembah sukma, tulus
dan sederhana. Bicaramu
dari alam sejagat sampai
duduk minum kopi di
anjung selera. Bukan
apa-apa sekedar melihat
ke dalam matamu dan
terus menyentuh sukma.
Tiada pilihan kata-kata
menjadi umpan dendam
kesumat, yang berselindung
dalam keindahan bahasa.
Kau bertanya selewa sambil
mata menoleh ke tempat lain.
"Aku hanya seorang penyair.
Jangan anggap aku sebagai
musuh." Dari menulis suka-
suka tentang gajah dan orang
hutan, melangkah dan memetik
inspirasi yang turun dari
langit. Aku menyerap warna,
gerak dan tiga demensi
yang hidup. Menulis sekedar,
akhirnya menyingkap langit
samawi. Bukan puji-pujian
atau taburan bunga, yang
mendewasakan sebuah
karya. Tapi penghayatan
hidup itu, sendiri. Melangkah
dan menyerap dan memaknakan.
Di tanah penyair ini, kata-kata
dan kalimat tumbuh menjadi
pohon rendang dan berakar
tunjang untuk ribuan tahun.
Kegelisahanmu adalah juga
kegelisahanku. Kemalaratan
malammu sampai ke siang
pertarungan, adalah batu ujian
yang mengundang kesabaran.
Ketika kemanusiaan terporok,
aku akan bersuara tak berhenti.
Sekalipun kau menderaku,
aku akan mendatangkan
balatentaraku, kata-kata
yang bersayap menebus
jati diri dan hak-hak
kemanusiaan. Usah kau
menjadi buas, kerana aku dan
kau, dari setitis nuftah.
Tanpamu, huruf dan kata-kata
duniaku pun terpinggir.
Gazelku, siang telah tersingkap,
siapkan kepakmu, kata-kata,
mari, kita jelajahi nusantara,
jelapang bumi dan angkasa raya.
Di situ, selalu ada
yang ingin disyairkan.
Kota Kinabalu
21 Oktober 2012
*Puisi ini termasuk dalam antologi bersama, Sabahuddin Senin dan Awang Karim Kadir, dalam antologi "Suara Penyair", terbitan Pro Saba-F.
52. Panggilan
Aku menulis puisi kepadamu
tidak terlalu panjang, sederhana
bait-baitnya setenang lautan
ketika purnama mendaki ke
puncak. Kukenangkanmu
kerana rindu ini melahirkan
ghairah, merapati pelabuhan
melabuh sauh. Aku berdiri dan
melangkah. Memang langit
yang dilihat. Dan ini bukan
imaginasi, realiti itu sendiri.
Kau telah memanggil berulang.
Segaja aku tak menoleh. Tapi
panggilan itu menggempur
suara hati. Semakin berat,
pun aku tetap tak menoleh.
Tiap panggilan itu, aku
mendengar bumi meratap.
Sejak masa silam ia tetap
redah menyimpan khazanah
rahsia. Antara panggilan dan
sahut ternyata kebenaran itu.
Pernah kau merasa begitu,
tersiksa mendengarkannya.
Barangkali di situ ada ketenangan
dan kedamaian yang dicari,
dari laluan simpang siur. Kini
kudatang dengan tubuh ini,
tangan terbuka dan aku tak menyesal.
Kota Kinabalu
20 Oktober 2012
53. Aku Dan Kau, Kata-Kata
Puisi kutulis ini
tak seberapa
catatan di sana sini
ketika teringatmu.
Aku telah lama
menyepi
berteman
kata-kata,
kami jalan
berdampingan
sampai ke hujung.
Semalam aku bertanya
dalam tempo waktu
kita telah lama bersama.
Di simpang jalan ini
kuulang pertanyaan itu
apakah kau masih ingin
ikutku melangkah.
Masih ada waktu
untuk berpatah balik.
Katamu, kata-kata
tak pernah berlaku curang
dan aku menjawabmu,
"benar."
Kau tak akan kutinggalkan
selangkah lagi
kita
melangkahi sempadan.
Kau adalah
teman perjalanan
selalu siap
dan tak pernah
berpaling.
Katong
Singapore
14 October 2012
54. Huruf Dan Kata
Tidurlah, huruf dan kata
walaupun hanya sebentar
aku telah membawamu jauh
di tanah asing
kesabaranmu rembulan
tetap indah di telapak tangan.
Melihat
huruf dan kata,
wajahmu tenang,
barangkali kau bermimpi tentang
gerak-gerak langit
gerak-gerak samudera
gerak-gerak di lembah hutan jati.
Terlalu banyak kau lihat
ada yang dapat
kau tafsirkan sesaat
yang lain menjadi
pertanyaan panjang.
Puisimu terucap
sebagai sahabat yang
selalu bertanya
tentang khabarmu.
Aku pun tak meminta lebih
puisi ini
sebagai air menitis
di bibirmu yang kering.
Siang tadi, otot-ototmu
kejang, langkahmu terheret,
demikianlah suatu perjalanan
setelah berjalan jauh
kelelahan dibalas dengan
tidurmu yang panjang.
Manisku,
dekurmu selalu menyenangkan.
Gazelku,
ada waktunya kau meloncat
tinggi di dalam udara
tapi, ada waktunya
melepaskan dunia sebentar.
Katong
Singapura
13 October 2012
55. Rembulan Kembang Kemboja
Aku menulis sebuah puisi
menggantikan sekalung bunga kemboja
memang adatmu
ketika datang dan perpisahan.
Biar sebuah puisi
menjadi rembulan kembang kemboja
yang dikalungkan dilehermu.
Berikan kepadaku satu kata,
hanya satu kata
sebagai penganti perpisahan.
Sekalipun di dalam muka kulit
sebuah kata tersimpan naluri halus
yang terus menggusik sukma.
Aku tak melarangmu
kerana butir-butir air
matamu menitis sebagai doa.
Biarlah sebuah puisi
menjadi rembulan
kembang kemboja di jinjang lehermu.
Honiara
10 Oktober 2012
56. Huruf-huruf Puisi
Huruf-huruf puisi, kau mendengarku baik
aku akan membawamu ke benua, langit
dan samudera baru. Ketika aku merasa
letih kau menghibur supaya berdiri dan
melangkah terus.
Huruf-huruf puisi, ketika aku berhenti
di pohon rendang dekat hutan jati, kau
turun menjadi bait-bait puisi, main-main
sembunyi, memanggil dan tercipta sebuah
karya.
Huruf-huruf puisi, lincah anak kakimu
bermain air sungai sambil menghiburku
puisi-puisi pendek dan sederhana. Sedang
anak tupai keluar dari lubangnya, memberi
salam.
Huruf-huruf puisi, tak pernah patah semangat
atau menjauh kerana hatimu tulus. Selama
bersamamu, kau terkumpul dalam bait-bait
pendek berupa doa. Aku membaca bait-bait
doamu buat Allah Azzali.
Huruf-huruf puisi, Gazel dari lembah kehidupan.
ia selalu dekat dalam sukma. Aku tak meminta
lebih darimu, biarlah kau tetap indah dalam
sebuah puisi.
Honiara
9 Oktober 2012
57. Bulan Sepotong Lemon
Mari, melangkah bersama
tanganmu dipegang, melangkah
ke depan, mentari tenggelam.
Kau tak mampu berjalan
sekalipun selepas puncak
bukit nampaklah jalan pulang.
Kalau begitu, mari digendung
biar kita melangkah sampai
ke anak tangga. Kau bertanya,
"Apa yang kau fikirkan tadi?"
"Tiada apa-apa, mendengar
suara hati." Nah, kita dah
sampai di puncak bukit, jelas
kau dapat melihat halaman
rumahmu. Kelihatannya sepi
dan tak ada orang. Dah lama
kosong. Masuklah, pintu pagar tak
berkunci, tangganya tak seberapa
tinggi, rumahmu sendiri, tak usah takut.
Masih ada waktu, basuhlah kaki.
Berdoa. Ketika tidur, bulan sepotong
lemon di langitmu.
Honiara
9 Oktober 2012
58. Bantal Berenda Rembulan
Ada seorang ibu duduk
merenda rembulan pada
sarung bantal. Tiap malam
ia merenda sampai siap lalu
dimasukkan sarung bantal
berenda rembulan
ke dalam bantal kapuk
memandangnya puas.
Aku memandang langit
selepas maghrib
bulan bundar kuning kental
bergerak perlahan
dari lantai laut ke atas
mulanya pudar lalu
menjadi cahaya terang.
Terasa aku terangkat
terbawa bergerak lalu
bertukar menjadi rembulan.
Dari langit aku melihat
ibu tua tidur nyenyak
di atas bantal
berenda rembulan.
Lalu aku turun
masih sebagai bulan
masuk ke dalam
rumah. Hempus nafasnya
terasa menyentuh kening
dan aku mencium dahinya.
Honiara
8 Oktober 2012
59. Pulau Banggi
Aku tak terpaksa menulis puisi buatmu
di dalam impian dicari namamu dan
cuba mengenal rupamu, sia-sia, kau
terlalu halus dan perasa pada kelip
cahaya yang datang menyentuhmu.
Meskipun aku belum menawanmu
Bukit Sibumbung, namun telah di
lepaskan puluhan kata-kata bersayap
memantau langit dan pulaumu.Pada
bait-bait puisi ini dicatat namamu,
Pulau Banggi, dalam sukma penyair.
Kau tak mengenal, tapi salam yang
terucap telah mendarat di pantaimu.
Salam sejagat, salam kasih, memang
kita bersaudara sekalipun saling tak
mengenal. Tapi, kata-kata sederhana
yang terhimpun menjadi puisi, akan
selalu menjadi jembatan di teluk sukma.
Bagaikan aku Pulau Sebogoh disampingmu.
Demi langitmu, seakan aku melihat
malaikat turun, dalam kelip cahaya,
lalu gerimis turun menyentuh bumimu,
kau tak merasa bimbang atau curiga.
Anggaplah kata-kata yang terhimpun
menjadi bait-bait puisi ini adalah sebuah
doa dan harapan padamu, Pulau Banggi.
Honiara
28 September 2012
60. Suara Masa Silam
Pernah sendiri di Freemantle
memandang ke lautan Hindi
Ombak masa silam datang
bergulung-gulung ke tebing.
London, jauh ke barat Utara.
Angin lautan bertiup terasa
membawa suara-suara
terhukum ratusan tahun
pembuangan ke tanah kolonial
Southern Cross. Sejak itu
mereka tak melihat tanah leluhur.
Seperti tidur dalam rumahmu
di siang hari, ketika tersedar,
kau terlentang di bumi atau
langit khutub Utara dengan
landskap tak pernah kau
mimpikan. Sejak itu tiap kali
kau merebahkan dirimu ke
ranjang, bimbangmu mungkin
menjadi realiti dan kau tak dapat
menjelaskan.
Honiara
26 September 2012
61.Puisi
Sekarang aku telah siap menjawabmu
pertanyaan awal yang tak terjawab di
malam gerhana atau purnama penuh
Ketika aku menurunkan huruf kata
lalu tercantum menjadi sebuah puisi
sambil mencicip limau kesturi melihat
Serindip terbang melintas jendela langit.
Aku sedar setiap anak kata lincah,
segar dan tampan bermain di halaman
sukma. Mereka, kata-kata yang hidup
bagai bintang-bintang gemerlapan
di malam purnama. Mereka adalah
soldadu siap dikerahkan di barisan
depan. Atau menjadi tembuk besar
merintangi benua ke benua, langit ke
langit, samudera ke samudera. Mereka
bukan kata-kata yang terhukum atau
hamba yang terbelenggu, tanpa suara
tanpa jiwa. Mereka merdeka. Merdeka
dalam pengucapan, merdeka di lembah
dan dataran, sebingkas kuda semberani,
bila tercantum menjadi melodi terindah
melunakan seorang kekasih dan memberi
nafas kepada doa-doa, segar dan hidup.
Honiara
6 September 2012
62. Déjà vu
Di lagun bergaram
memandang
ke dalam matamu
deja vu.
Puisi ini
huruf-huruf kukup lumpur
tergabung menjadi
sari kata dan kalimat
merah jambu dan
tarimu flamingo
alam termangu
dan tersentuh.
Kerana pernah
yang teramat
bagaimana kalau
aku tak berada
disampingmu.
Flamingo
jendela langit tersingkap
kembangkan kepak hitam
terbanglah, kaki tangkai bulu
ke tasik-tasik payau
yang cetek.
Canberra
18 Jun 2012
63. Balada Puisi Terindah
Aku menulis sebuah puisi
mencari dari kata-kata terindah
menyusunnya bait demi bait kemas
menjadi sebuah puisi yang manis.
Setelah itu kubaca berulang
memperkuatkan lambang dan irama
supaya tercipta keindahan.
Kuletakkan ia di atas meja
lalu meninggalkan kamar
menghirup udara segar
berjalan di tepi tasik.
Kembali aku ke kamar
duduk minum kopi
dan membaca puisi
mengulang sampai puas.
Terasa inilah
sebuah karya puisi terindah
telah tercipta dari rasa yang terhalus.
Semuanya tersusun
dan menambat jiwa pembaca.
Adakah yang lebih sempurna
terindah dari sebuah karya puisi yang hidup.
Tapi di sebuah kota silam
didirikan sebuah mesjid
indah dan terbuat
dari batu marmar putih.
Tiap susunan dinding
dan tiang menaranya
didirikan rapi
sungguh suatu binaan
yang hebat dan monumen
yang tak ada bandingan.
Ketika ditanya,
ia membalas tiada yang lebih sempurna
selain Allah dan bangunan ini
segaja diganjilkan kerana itu.
Tiada yang lebih sempurna selain Allah
lalu puisi ini keindahannya tak boleh sempurna.
Canberra
11 Jun 2012
64. Rahsia Hati
Aku mulai bicara sebuah hati
dalam kesederhanaan
dan berakhir dalam kesederhanaan.
Ada rahsia yang tersimpan
pada mata yang memandang pada alam
pada langit dan bumi aku selalu bercanda
menyingkap rahsia sebuah hari
pada gelora laut yang selalu
menyimpan rahsia ribuan kurun
pada pulau yang sepi
terselip bebayang dalam pekat malam
pada gunung di waktu fajar merelakan diri
dalam dakapan mentari merekah
pada rembulan keagungan sang kekasih
melukiskan malam dengan tinta kalimat cinta
pada lembah salji kesabaran yang lunak
menunggu datangnya musim semi
pada sebuah kamar ada suara-suara
yang terkurung dalam perjalanan waktu.
pada sebuah kesedihan ada rahsia yang belum terucap
pada sebuah mimpi menunggu menjadi sempurna.
Mentari yang menyala
mengirimkan cahayanya
adalah kesabaran berkurun
alam itu-
adalah fikiran dan rasa dari warisan silam
anugerah dan inspirasi yang mengalir.
Di musim semi, di lahan baru dan tanah gembur
aku menyemai sebuah harapan, agar tumbuh dan berakar
aku berkata padamu, ketika kebenaran itu telah nyata
bukan rahsia tapi kenyataan lahir dari kandungan waktu
lebih dari seribu kurun bagai siang yang terang
mendatangi lembah-lembah yang terlindung dan jauh.
Mengapa hatimu tergetar, dan cemburu
melihat sukses kerana kemewahan dunia
kerana kau merasa tak punya
sedangkan kekayaan itu milik tak puas
terus mengoda sampai ke dalam tidur yang gundah.
Mengapa harus resah, mengapa berduka
kejahatan dunia itu-
kejahatan yang bersarang pada hati yang gelap
ia bernafas dan bergerak hidup
menguasai nadi dan urat-urat darahmu
akhirnya kau tak bermaya dan menurut
dan merasa manis dan akur.
Melepaskan semua itu bukan bererti
mengalah pada kehidupan
usia kita telah berangkat, matahari batu delima
kalau kehidupan itu adalah teka-teki
maka ia telah terjawab, kerudung itu telah tersingkap
kepuasan dunia tak pernah ada garis penamat
ia adalah bakteria yang akan menjadi penyakit
ia adalah kerakusan dan keangkuhan akhirnya.
Ketika kau telah redah dari gelisahmu
bagai malam telah berangkat datangnya siang
bagai hutan kembali riuh dan hidup
bagai gemerincing waktu yang beredar dan teruji
besar hatimu meraih langit
besar pula tipu muslihat suara-suara gelap
di dalam rimba yang tercipta di dalam hati
serigala dan petualang malam adalah
pemburu perkasa terus mengejarmu sampai
ke pangkal malam.
Ketenangan ini adalah
air halia yang kuminum
madu yang kucicip di hujung lidah
dalam solat aku hamparkan selaksa dukalaraku
dalam doa aku mendakap-Mu
bagai kekasih yang haus dan rindu
kupanggil nama-Mu
kubisikan kata-kata terindah
dalam kalimat-kalimat sederhana
kerana kesederhaan hidup ini
aku terpanggil memanggilmu
dalam sederhana kubaca gerak langit
dalam sederhana kubaca gerak bumi
dalam sederhana kubaca degup hati.
Kalau rahsia bukan rahsia lagi
kebenaran itu telah menjadi nyata
dan rahsia itu telah tersingkap.
Canberra
22 Mei 2012
65. Lenyap
Pernahkah kau
sedang bermimpi
tanpa penghujung
sekalipun kau mencoba inginkan
mimpi pun berakhir.
Ketika duduk sendiri
turun kasyaf lalu
melesap hilang dalam udara.
Atau sedang menulis puisi
telefon berbunyi
menghapuskan
bait-bait sebelum.
Dalam perbualan
ingin berkata tapi
fikir pun terpaku
ia pun lepas dari genggaman.
Di ranjang
terlentang sendiri
aku mengingati-Mu
sekalipun diri
bagai tersuntik ubat bius.
Canberra
21 Mei 2012
66. Firasat Suatu Malam
Aku melihat
kaca bulan jatuh
berkecai di lantai zaman
darah menitis
di sepanjang
jalan peradaban.
Canberra
8 Mei 2012
67.Terompah Waktu
Nilamku, aku sedar dalam terompah waktu
kita teruji dalam empat musim mendatang
turunlah malaikat, kuselalu mendambakan
gerimis dari langit.
Ketika kau mengerang sakit jauh dari
jangkauku, kuhimpun kata-kata dalam
doa menjadi air dingin membasahi tekakmu.
Memang kau tak melepaskan dengan kata
sinar matamu cukup mengungkap yang tersirat
sedu-sedanmu melingkari rembulan
bukan kehendakku memberi kepak
terbang ke langit lalu lupa mempersiapkan dahan
supaya kau dapat hinggap dan berteduh di situ.
Nilamku, masih kuingat
udara segar musim panas
dalam rimbunan wangi bunga
senyummu bunga kemuning.
Di saat begini, kukirimkan
malaikat pendampingmu
biar hatimu tetap dingin
dalam terompah waktu.
Canberra
6 Mei 2012
68. Saling
Kutulis puisi buatmu
kerana aku tak sempat mengucap
salam ketika berpisah
kalian bagai hutan bakau dan laut
sekalipun kau berkata,
"biarkan, cinta telah menjadi masin."
"tanpa aku malam jadi panjang di pundaknya."
Balasnya tegas.
Masihku ingat cerita mimpimu
"Kita berperahu. Di sana mereka
menunggu dengan mekar bunga."
Lalu, "ada keramaian, penyerahan sebuah hati."
Bulan melepaskan jilbab,
purnama di tasik
engkau, batu karang merjan,
keindahanmu
merangkum laut biru.
Kita bersenda gurau
mengusik kedamaian sebuah taman
merayau ke tanah rimbamu
dan kamarku tak berpintu
kau masuk hanya mengucap salam.
Pada komet yang menetaskan ingatan
kubisik pada angin membawa udara segar
ke dalam mimpi manismu.
Canberra
28 April 2012
69. Kumpul
Langit cerah, mentari hujung April
di lapangan rumput, mereka berkumpul
udara musim gugur sutera lembut.
Aku mendengarmu
dalam kesederhaan katamu
kau mencintai, aku merasa
dengan tertib engkau melepaskan
panah-panah yang berkepak
lalu hilang di udara. alam tetap tenang.
Lalu katamu, mari kita menyanyi
kuselak puluhan lagu di dalam kepala
berhibur kecill dan menggalai
rentak bambu atau palu gong
bukan rasa sayangi atau lenggang kangkong
kau memilih lagu yang lebih serius.
Aku berdiri menurut
tenang-tenang menggelitik memori
kata demi kata melucur
mata setengah terpejam
kata terakhir kuucapkan
Raja kita selamat bertahta.
Kupandang pada langit
langit biru mengangguk, kupandang malu
pada pohon eukliptus, ia senyum,
kupandang burung kakatua terbang berkawan
menyambutku dengan korus
kupandang ke dalam hati,
aku senang kerana mereka pun senang.
Kutoleh ke kanan
Usman Awang menggangguk senyum
tenang-tenang gadis membaca puisi
lalu kuberi isyarat pada Usman
tiap bait diucapkannya tenang
aku melihat ke langit
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Di jalan pulang
kulihat pepohonan berganti warna
angsa hitam berenang sendiri
tasik griffin tenang menunggu malam.
Canberra
28 April 2012
70. Kembali Ke Dalam Hati
'Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'
Kurenung kalimat itu
dan menafsirkan
jauh ke pusar ingatan.
Indahnya, patokan masa silam
menerobos ke masa kini
ia datang sebagai tamu
ramah dan sopan.
Di tengah laut
aku melayanimu
di lembah gunung
kau sebagai teman
di pinggir kota
kau menyapa
di pulau terasing
kau melambai
di desa sepi
kau berbisik
di ranjang tidur
aku memanggil
datangmu harum
musim semi.
Malam itu
resah langit
resah gelombang
genderang itu dipalu
dan isyarat perang
tiap gerak terbaca
tiap gundah
menyemerakkan unggun
tiap harapan
ditatah dengan kekerasan.
Ia pun berkata,
bangkitkan raksasa,
hidupkan mitos dan legenda
biarkan langit gemuruh
dari mulutnya tersembur
laknat sumpah sarana.
Langit dan bumi
menjadi sirkah
ia pilih kekerasan.
Kembali ke dalam hati
teringat pesan itu
kerana di situ, ada
kemenangan yang pasti.
Canberra
26 April 2012
71. Watak Dan Filem
Dalam kelembutan ada kekerasan
tiap garis dan kerat wajah itu jati diri
adalah saksi sejarahmu dari jendela kecil.
pembongkaran tanah gembur ada makna tersirat
memindahkan semaian selalu ada keperihan dan jeritan rakyat.
bila kata-kata tak membawa makna pada lawan bicara
mata pun siap menerima kejutan.
ia berkata,
dalam revolusi, semuanya bisa.
tapi gelodak kekejaman dan kekerasan itu
senjata rahsia masa silam yang berkesan di tangan algojo.
kehalusan jiwa dan kefahaman universal
pemberian mulus pada alam sejagat.
Canberra
25 April 2012
*72. Bunga Iris
Bukan khayalan
kapal terbang telah mendarat
Udara musim gugur
Di luar sepi
Canberra tenang di permukaan
musafir pulang
bau lautan masih tercium
tapi di sini
pohon-pohon di sepanjang jalan
berganti wajah.
Salam kau ucapkan
sekuntum bunga Iris
warna unggu
kembang belum musimnya.
Malam tadi
di bawah sinar lilin
Honiara, hujan di puncak bukitmu
air lumpur mengalir
masuk ke desa-desa di pinggir laut.
Pada langit malam
bintang-bintang bersembunyi
di sebalik langit mendung.
Dalam diam kau seperti bayang malam
terbang menjauh tanpa menoleh.
Bila kata terperangkap
matamu cuba memberi makna
genta rasa menemukan maksud.
Lalu di lautmu
Guadacanal semakin kecil
perlahan-lahan hilang dan menyerah
pada kegelapan malam.
Honiara/Canberra
20 April 2012
*Tersiar di akhbar Harian Ekspress 25 September 2016
73. Wahai! Saudaraku
Wahai! saudaraku,
dulu dikatakan keajaiban
hari ini penyataan biasa.
sekalipun begitu
keajaiban didambakan
sekarang, kebohongan
meliar jauh ke sanubari.
Wahai! saudaraku,
paksi kehidupan berpindah
dari masa silam
sampai ke langit kejora
keyakinanmu
kebenaran itu adalah
\mentari rohani gemilang.
Wahai! saudaraku,
si Tenggang dan Jebat derhaka
mengongsi ke dalam kelam
selalu ada
merasa perih dan tersiksa.
Wahai! saudaraku, I
alaf 21 menitis
dari terjangan waktu
bebayang silam
memperingatkan
keangkuhan itu
membawa kecelakaan.
Wahai! saudaraku,
aku hanya ingin bercanda
sebuah kata dan kalimat
kalau itu
membuatmu senang
sudah cukup bagiku.
Honiara
30 March 2012
74. Wahai! Saudaraku 1
Wahai! saudaraku,
dulu dikatakan keajaiban
hari ini penyataan biasa.
sekalipun begitu
keajaiban didambakan
sekarang, kebohongan
meliar jauh ke sanubari.
Wahai! saudaraku,
paksi kehidupan berpindah
dari masa silam
sampai ke langit kejora
keyakinanmu
kebenaran itu adalah
mentari rohani gemilang.
Wahai! saudaraku,
si Tenggang dan Jebat derhaka
mengongsi ke dalam kelam
selalu ada
merasa perih dan tersiksa.
Wahai! saudaraku,
alaf 21 menitis
dari terjangan waktu
bebayang silam
memperingatkan
keangkuhan itu
membawa kecelakaan.
Wahai! saudaraku,
aku hanya ingin bercanda
sebuah kata dan kalimat
kalau itu
membuatmu senang
sudah cukup bagiku.
Honiara
30 March 2012
75. Wahai! Saudaraku 11
Wahai! saudaraku,
kita telah menerpa jauh
sesekali menoleh
menundukkan mata
supaya mendengar lagi.
Aduhai! luka-luka terhiris
pada bulan pudar kesiangan
bukankah tiap hati
tiap resah gelisah
telah diberi peringatan.
Wahai! saudaraku,
mau ke mana selepas ini?
gencar menerobos cekrawala
menggali pusar bumi!
Di malam bistari
kau bisikan ke telingaku
'belum tumbuh gigi
sudah pandai baca kitab.'
Wahai! saudaraku,
beri aku kepatuhan Ismail
menggenapkan mimpi Ibrahim
beri aku kekuatan Yusuf
ketika aku menerobos
ke dalam kelam malam.
Berilah aku nekad Musa
biar lidahku lincah
mematahkan tipu-helah Firaun
beri aku kesabaran Isa berdoa
di taman Getsemeni.
beri aku sekelumit
sentuhan jiwa agung,
Kekasih-Mu, Muhammad.
Wahai! saudaraku,
kata-kata lebur
gelombang nafas kendur.
Wahai! saudaraku,
biarkan aku lelapkan mata
mengenangkanMu.
Honiara.
4 April 2012
76. Doa Tahun Baru
Tahun 2012
melangkah seperti yang lain
bunga-bunga doa kembang sejagat.
Kekasih berkirim khabar
langit dan bumi kumasih
mendambakanmu.
Honiara
77. Bunga Flamboyan
Disember semakin sarat
di pinggir jalan kota
bunga flamboyan berserakan
langit lazuardi
angin laut bercanda.
Di bawah pohon
bunga flamboyan
bagai permaidani merah
terasa kau merelakan
bertaut di permukaanmu
janji yang terkabul.
Honiara
14 Disember 2011
78. Bercanda
Suatu malam penyair bercanda tentang
perkasanya alam raya dan orbit yang jauh
titian huruf-hurufnya bintang bertaburan
kerana ia ingat debu kakinya masih hinggap sampai ke lemak betis.
Dengarlah dingin air terjun, itu suara hatinya, mengalir
siapakah di kolam itu bermain air dan riang suka
sesekali air terpercik mata, pedih seronok
aduhai maksyuk, pesanmu kudengar si rimba jati
mengapa harus berlaku kejam pada burung si rajawali
apa lagi pada tegar gunung langit jelapang biru.
Maafkan sepasang mata, kau terpaksa melihat belerang perang
di meja perundingan, telah lama kedamaian itu menjauh ke bintang pleiades
ke mana kita setelah ini, siapa pun tak ingin mengambil tau
tiap objek pada tempatnya, penyair masih berdiri di paksi ini
kata-kata kehilangan makna, tapi mereka masih membodohi massa.
Berikan penyair sesaat tak akan ia lepaskan pergi
tanpa berkata memang aku cinta padamu, oh hidup
sekurangnya penyair puas, ya Rabbi!
Canberra
2 Jun 2011
79. Makna
Aku terpegun ketika kudakap
Dadamu menjelang iftari
kehangatanmu dalam hempas pulas
perjuangan rohani tak ngerti tewas.
Ketika musafir tersedar
ia telah sampai di halamanmu
setelah lama ia membiarkan diri
hanyut dalam kesibukan kota.
Tak perlu mencurigai
tentang merah langit senja
apalah makna sebuah kesal
yang mengundang pedih dan luka.
Semankin kau lincah dengan
kata-lata keras dan kasar
samasekali tak akan memutar
haluan kapal kerana dendam
yang terseret terdampar
di batu-batu karang.
Kuala Lumpur
21 Ogos 2010
80. Rindu Musafir
Kekadang di jalan pulang
menghibur diri sendiri
makan selera menambah lauk
mata seperti kena asap kemenyan
aku berhibur sepasang baju melayu
teh tarik, nasi lemak, rendang ayam
musafir terjolok mimpinya
dalam Ramadan al mubarak.
Kedatangan ini seperti berkelana
Bersama pusar angin dari langit biru
ke sirkah langit senja dan malam majnun
dalam diam hening dapat kurasakan
usahlah menghukum aku terlalu keras
kerana tofan gurun bawalah aku ke onasis-Mu.
Memang aku debu jalanan yang mudah tergoda
ketika terselihu aku menangis selantang anak kecil
tapi Engkau masih selalu sabar menungguku di depan pintu.
Kuala Lumpur
21 Ogos 2010
81. Warna
Katakanlah langit dalam sehari
bertukar warna sayur sawi hijau.
lalu dedaunan pepohonan
di lembah gunung sapuan biru laut.
laut kemerah-merahan
bagai hamparan permaidani farsi.
bulanmu biskut kering
mentari pula sebiji jambu mawar.
indahnya
purnama malam ini.
'maaf', kata seorang teman
'sejak lahir kubelum melihat sepasang warna.'
Sydney
17 Ogos 2010
82. Fikir Si Luncai
Pernah dikatakan bumi ini leper
kerana berfikir, kita disiksa
ingat, si Luncai terjun ke dalam laut
bersama labu-labunya
sejak itu mereka semakin berani
menconteng arang pada langit
dan lantai bumi
kebenaran itu adalah mentari siang.
Canberra
17 Ogos 2010
83. Uji
Kekadang sedu-sedan bila terasa
dahan yang dipaut patah
tebing yang diraih menerobos tetiba
jembatan yang dititih rapuh ketika melintas
malam yang disemai menghanjar mimpi
siang diharapkan panahan halilintar
gunung dikucup memuntahkan lanar
bumi yang diharap seakan berkata dilarang memijak.
Kata seorang wartawan
pada bumi dan langitmu
KL/bangkok/manila/ranggon/jakarta/png
tak pernah jalan mendatar selalu bergejolak.
kita pun tak pernah kenyang, memamah
ke liang hempedu dan urat-urat,tambahnya sinis.
Orang di sini cuba membaca serumpun mata
mencari rahsia dalam debar jantung
di gobok pelarian mereka menatap banjir belum surut
di desa pendalaman seorang ibu menunggu khabar
anak perampuannya tersesat dalam neon kota.
Lelaki di longgokan sampah
cahaya matanya tak berkedip
terasa kalau dilemparkan saja
ke mulut sungai atau menjadi baja ia terima.
Bangsat, maki orang kota
budak itu sepatutnya sekolah, jadi pencuri!
orang tuanya tanpa wajah peminta di kota raya
menembak mereka cuma statistik
seperti possom yang membawa sial pada enviroment.
Hari itu dua teman lama tak ketemu memasak tomyam
kerana terlalu asyik menumis sebiji dunia
katanya selera makan makin bagus...
Ujian, semua ini ujian
semua diuji, mengapa lari!
Ya Rabbi, Engkaulah empunya
kekuasaan atas segalanya
kalau ia tewas di laut lepas
sayap gelombang membawanya ke pulau harapan.
jauh di lubuk hati semua ujian pasti berlalu
langit biru senyum mentari musim bunga
menunggu bagai kekasih di ambang pintu.
Canberra
18 Ogos 2010
84. Jambangan Bunga
Pernahkah engkau berkata sekali dalam hidup,
aku bahagia...
Bunga violet, manis untuk yang manis
pengantin malam pertama pasrah.
Bunga Daffodil tumbuh di lereng bukit
bagai gadis sunti menunggu datang musim semi.
Bunga Dahlia buat kekasih yang berduka
kalau itulah membuatmu bahagia.
Bunga Carnation, buat yang tersayang
senyummu bagai seni khat yang terlukis pada wajahmu.
Bunga Chrysanthemum, telah lama padam dendam-kesumat
sekalipun mungkin ada yang terguris pada malam perpisahan.
Bunga Daisy, taburkan pada sungai yang membawa khabar
marahnya meredah danaunya telah tenang kembali.
Bunga Ros, sumber puisi penyairmu
Ya Rabbi, aku lebah madu pengkagum taman-Mu.
Canberra
85. Kalbu
Dari waktu silam yang panjang
tiap kalbu ada ceritanya sendiri
kuturuti suara hati sekalipun
dalam gelap-gulita mencariMu.
Kalbu Fir'aun remuk
bukan kebenaran debu tertimbus
ketika maut terpagut jalan buntuh
pintu keselamatan pun tertutup.
Abu Lahab dan Kisra Persia
memusuhi Sang KekasihMu
langit menyembur kilatan panah
dan mengoyak kalbu yang angkuh.
Telah kukuburkan
kebohongan ke liang lahad
biarkan air gunung membasahi
kalbu yang gembur.
Ya Rabbi, tenteramkan kalbuku,
kalau ada keinginan ini biar sekilas
menukar warna gurun kering kontang
menjadi ladang musim semi yang hijau.
Canberra
2 Ogos 2010
86. Doa Buat AL
Laut senja bernafas tenang
gelombang waktu membawa pelaut pulang
semalam mimpi manis itu kita sulami
bergelut pada hiruk-pikuk kotaraya.
lalu suara hati menjadi bait-bait puisi
petik jejarimu lincah irama rentak klasik
dalam kelam jejak langkahnya melusur.
Pengelana yang menguji dirinya
dalam pertukaran musim
mengupas makna sebuah kata.
Sepotong hidup masa majnun
senandung malam yang mengusik
aku mengenangmu.
Di icu kau kini terbaring diam
nanti akulah yang akan
mengucap salam dulu
ketika kau sedar semula.
Ya Rabbi, engkaulah
yang menghidupkan
dan mematikan.
kutunggu dalam doa.
Honiara
27 Julai 2010
87.Sari Doa Buat AZ
Jam berhenti berdetak
embun berendam
di hujung dedaunan sawit
lenggang malam yang resah.
Semalam di situ masih sebuah rimba
dalam cakar mentari menerkam siang
kaukuak sejengkal demi sejengkal tanah
keringatmu menyembur subur benih sawit
buahnya segar mengundang mimpi.
Di halaman anak-anak gelak bermain
sebaya rimbunan pepohonan sawit
kini mimpi pun terputus
maut menyergap
jauh di lorong sedu kau bintang
pada sari kembang fajar
aku mengenangmu dalam
doa pengelana yang pulang.
Honiara
10 Ogos 2010
88. Suara Kasih
Gelap terasa alam disekeliling tak terjangkau
ingin kusentuh kekasih terasa menjauh
sepi sendiri malam berendam di lunak hati.
Suara menipis tak terangkat lidah yang bungkem
kelopak mata layu bagaikan di hujung musim
kakiku yang pernah menuruni lembah gunung
laut dan alam sejagat kini hanyut dibawa arus.
Aku semankin kecil jauh ke pusar lautan
nyanyian kalima yang mengelus urat nadi
Engkaulah sandaran hidup matiku
kukirim durud dari jelapang hati yang sujud.
Segala puji bagiMu terasa kini aku mendengarmu
gelombang bunyi makna kata hinggap digendang telinga
siang itu duniaku menjadi sebutir bintang
yang terbang jauh ke dalam masa silam.
Sentuhan tangan yang pernah menidurkanku
dari tarikan nafas dan bisikan suara kasihmu
bagaikan aku berenang dalam rahim seorang ibu
kau datang dengan doa kembang bunga ros
dan aku memang mendambakannya.
Honiara
29 Julai 2010
89.Lontaran Kata*****
90. Memilih Kata
91. Janji Awan
92. Kemenangan Dalam Ucap
93. Sabda Samawi
94. Cahaya Bintang
95. Ruh Bahasa
96. Makna Ayat
97.Taman Kata-Kata
98. Perjuangan Kata
99.Kata-Kata Bersatu
100. Kata Kembang Sejati
101. Bahasa Hidup
102. Kata Yang Merdeka
103. Benteng Bahasa
104. Selangkah Bahasa
105. Kata-Kata Sejati
106. Kata-kata Lautan
107. Bahasamu Sebuah Anugerah
108. Ayat-Ayat Damai
109. Kekuatan Ayat
110. Sari Ayat Hidup
111. Ayat-Ayat Abadi
112. Ayat-Ayat Doa
113. Bahasa Hidup Dan Damai
114. Bahasa Istiqamah
115. Bahasa Tawakl
116.Bahasa Wahyu
117. Huruf-Huruf Berkembang
118.Huruf-Huruf Itaat
119. Bahasamu Sebuah Taman
120. Inspirasi Dalam Kata
121. Ayat dan Nokta
122. Ayat-Ayat Harapan
123.Bertaburan Kata-Kata
124. Kata-Kata Tak Melukakan
125. Bahasa Kasyaf
126. Sempadan Kata
127. Berbahasa
128. Metamorposis Kata-Kata
129. Kata-Kata Berkat
130. Kata-Kata Bersayap
131. Ayat-Ayat Purnama
132. Kata-Kata Gerhana
133. Ayat Belantara
134. Ayat Gunung
135. Gelombang Kata-Kata
136. Kata-Kata Menjadi Pulau
137. Kata-Kata Berakhir
138. Pintu Terbuka Pada Kata
139. Huruf-Huruf Mencari Landasan
140. Kata-Kata Tauhid
141. Kebenaran Kata
142. Kata-Katamu Bumi
143. Kata-kata Menawan Kalbu
144. Kata-Kata Tulus
145. Kata-kata Air Menjurus
146. Kata-kata Di Langit Terbuka
147. Ayat-Ayat Bercahaya
148. Ayat-Ayat Rohani
149.Dalam Kata Kata Ada Kekuatan
150. Kata-kata Dan Ayat-Ayatmu.
Edit 16 April 2019, 2:37 PM
Comments
Post a Comment